Friday, July 9, 2010

SEJARAH SKUR

Sekolah Kebangsaan Undang Rembau adalah merupakan salah sebuah sekolah yang terdapat di daerah Rembau. Ianya terletak kira-kira 1 Kilometer dari Pekan Rembau dan bersetentang dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau dalam lingkungan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Hampar.

Memetik fakta sejarah yang kemudiannya disokong oleh sumber-sumber lisan, Sekolah Kebangsaan Undang Rembau adalah merupakan antara sekolah tertua yang dibina semenjak zaman kolonialis lagi. Menurut Buku Sejarah Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan serta diperkukuhkan melalui keterangan Haji Zainal Abidin Bin Haji Ambia, sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1951. Nama sekolah ini semasa ianya ditubuhkan ialah Undang Rembau English School atau URES.

Sebagai sekolah kolonialis British, bahasa pengantar yang digunakan ialah Bahasa Inggeris. Guru-gurunya pula terdiri daripada mereka yang berkelayakan serta memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh British. Namun begitu, bagi menerapkan idealogi British Headmaster (Guru Besar) URES tetap orang Inggeris. Justeru, memandangkan dasar koloni yang sedemikian rupa, maka Headmaster pertama Undang Rembau English School ialah seorang inggeris yang bernama M.F. Francis.

Diawal penubuhannya, URES diurustadbir melalui sistem sekolah satu bumbung. Mengikut statistik, pada tahun 1951, hanya terdapat 170 orang murid yang berdaftar di sekolah ini. Komposisi kaum juga adalah pelbagai iaitu orang Melayu, Cina dan India. Walaupun begitu, perkembangan URES tidak terjejas memandangkan pada ketika itu pemikiran masyarakat masih lagi terkongkong dan konservatif terhadap sekolah koloni. Senario ini diperkuatkan lagi memandangkan URES adalah merupakan sekolah Inggeris yang terletak di luar bandar.

Sebagai sebuah sekolah yang menggunapakai amalan sekolah satu bumbung, URES pada ketika itu adalah merupakan gabungan sekolah rendah dan menengah dibawah satu pentadbiran, kelompok guru, kakitangan sokongan, dan satu pentadbir yang dipanggil Headmaster. Pada ketika itu, Sekolah Melayu yang terletak berhampiran URES ialah Sekolah Melayu (Pusat) Rembau dan Sekolah Melayu (Perempuan) Terentang yang akan mempengaruhi sejarah penubuhan Sekolah Kebangsaan Undang Rembau pada masa hadapan.

Pada tahun 1957, Tanah Melayu telah berjaya mendaulatkan dirinya sendiri. Peta dunia telah melakarkan nama Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957 dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Perdana Menterinya yang pertama. Lantaran itu, pelbagai perubahan dasar mula kelihatan berlaku terhadap Tanah Melayu. Pada ketika itu, perubahan politik negara nyata mempengaruhi sektor pendidikan. Transformasi pendidikan yang menekankan aspirasi nasional nyata begitu membara dikotak pemikiran pemimpin. Implikasinya, pada tahun 1962, Undang Rembau English School (URES) telah menjadi dua bahagian iaitu Undang Rembau English Secondry School (URES) yang khusus untuk pendidikan menengah, dan Undang Rembau Primary English School (URPES) yang khusus untuk Pendidikan Rendah sahaja. Namun begitu, pentadbiran kedua-kedua bahagian ini masih lagi diurustadbir oleh seorang Guru Besar. Bahagian Undang Rembau English Primary School pula ditadbir oleh seorang penyelia. Pemangku Guru Besar URPES pada awal penubuhannya (1962) ialah Shaharuddin B. Abd. Rahman . Namun begitu, menurut sumber yang dipetik melalui buku Sejarah Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, Guru Besar Undang Rembau Primary English School yang pertama sehingga tahun 1966 ialah J.A. Wellington. Selain daripada itu, menurut Buku Perkhidmatan Mohamad Idrus Bin Yunus yang bertugas sebagai Pembantu Am Rendah, Sekolah Kebangsaan Undang Rembau mulai 01 Julai 1968. Selepas itu jawatan Guru Besar URPES telah disandang oleh Wong Ben Tong sehingga 1969. Pada ketika itu, bilangan murid yang berdaftar di URPES ialah seramai 600 orang. Peningkatan yang begitu ketara ini tidak terhenti setakat itu sahaja bahkan terus berlaku sehingga kini. Selepas beliau berpindah ke Seremban, jawatan Guru Besar Undang Rembau Primary English School (URPES ) ini telah disandang oleh B. Gurdial Singh sehingga 1971. Pada ketika itu, keramaian murid URPES telah meningkat kepada 1100 orang. Pada tahun 1971 , Shaharuddin B. Abd. Rahman telah dilantik menjadi Guru Besar Undang Rembau Primary English School (URPES) yang terakhir kerana segala-segala akan berubah pada 1 April 1971 di mana terbinalah Sekolah Kebangsaan Undang Rembau (SKUR) . Sejarah menyaksikan inilah sekolah kebangsaan yang paling besar ketika itu dengan bilangan murid berdaftar mencecah 1700 orang.

Sepertimana yang telah diperjelaskan, Sekolah Kebangsaan Undang Rembau (SKUR) telah ditubuhkan pada 1 April 1971. Pada masa itu, pihak kerajaan memutuskan bahawa tiada lagi Sekolah Aliran Melayu berpengantar Bahasa Melayu dan Sekolah Aliran Inggeris yang berpengantar bahasa Inggeris di Malaysia. Sebaliknya, hanya satu sekolah yang akan diwujudkan dengan satu pengantar sahaja. Sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan yang berpengantar Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia. Bagi Sekolah-Sekolah Ibunda pula, identiti kaum masih terus dikekalkan tetapi tetap berpengantar Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia. Menurut Buku Perkhidmatan En. Mohamad Idrus Bin Yunus, impaknya Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengarahkan agar Sekolah Kebangsaan (Pusat) Rembau, Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Terentang, dan SRJK (Inggeris) Undang Rembau atau Undang Rembau Primary English School (URPES) dicantumkan menjadi Sekolah Rendah Undang Rembau. Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Melayu Terentang diarah tutup kerana kekurangan murid-murid. Semua murid-murid diminta untuk didaftarkan atas nama murid-murid Sekolah Rendah Undang Rembau.

Menurut Haji Zainal Abidin Bin Haji Ambia, meskipun Undang Rembau Primary English School telah menjadi Sekolah Rendah Undang Rembau, istilah Sekolah Rendah Kebangsaan tidak digunakan kerana sekolah ini bukannya ditukar taraf sebaliknya sekolah ini hanya melalui proses percantuman. Justeru itu, penggunakan SRK tidak dipraktikan sebaliknya hanya peristilahan SR yang digunapakai sehingga sekitar tahun 1974. Bilangan murid-murid berdaftar Sekolah Rendah Undang Rembau sewaktu penubuhannya ialah seramai 1700 orang. Bangunan Sekolah Kebangsaan (Pusat) Rembau (Blok B) telah digunakan untuk menempatkan murid-murid Tahap Satu, Sekolah Rendah Undang Rembau. Bangunan Undang Rembau Primary English School (URPES) atau dikenali juga sebagai Blok A telah digunakan untuk menempatkan murid-murid Tahap Dua, Sekolah Rendah Undang Rembau. Seorang Penyelia yang merupakan Guru penolong Kanan telah ditempatkan di Blok B, Sekolah Rendah Undang Rembau. Pusat Pentadbiran Sekolah pula ditempatkan di Blok A. Guru Besar Sekolah Rendah undang Rembau yang pertama ialah Shaharuddin B. Abd. Rahman. Pada 30 April 1972, beliau telah berpindah ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan sebagai Penolong Pengelola Sekolah-Sekolah Rendah Negeri Sembilan Darul Khusus.

Related Posts with Thumbnails